Merancang adalah merupakan salah satu langkah yang penting dalam membina kerjaya seseorang. Merancang kerjaya bermaksud seseorang itu harus tahu secara spesifik apakah kerjaya impiannya dan apa yang perlu dilakukan untuk merealisasikan impiannya. Perancangan bolehlah disamakan seperti merujuk sebuah peta yang menunjukkan arah kepada kita supaya kita boleh sampai ke destinasi yang ingin dituju. Terdapat beberapa langkah untuk merancang kerjaya anda. Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut :
1. Teroka diri anda
Meneroka diri anda sendiri adalah perkara yang pertama dan paling penting untuk anda lakukan. Kita selalu keliru dengan perkara kita inginkan. Oleh itu, kita harus berfikir secara teliti apakah kerjaya yang kita impikan dan bersesuaian dengan diri kita. Sebelum kita memutuskan kerjaya yang bersesuaian dengan diri kita , kita perlu meneliti beberapa aspek dalam diri kita seperti bakat, minat, kekuatan diri, kelemahan diri, kebolehan dan personaliti diri kita. Merancang kerjaya merupakan satu perkara yang penting kerana ia dapat mengurangkan bahaya salahfaham akibat kekurangan maklumat dan kekeliruan. Selain itu, pertolongan dari pakar psikologi, kaunselor kerjaya dan sebagainya boleh membantu seseorang untuk menentukan apakah kerjaya yang bersesuaian dengan dirinya.
2. Kenalpasti kekuatan dan kelemahan diri
Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan diri merupakan faktor utama dalam menentukan kerjaya kita. Dalam hal ini, kita seharusnya jujur menilai kekuatan dan kelemahan diri sendiri kerana ia dapat menunjukkan kerjaya yang bersesuaian dalam diri seseorang. Pada masa yang sama kita seharusnya tidak memilih kerjaya yang kita tidak mampu lakukan dengan baik kerana kelemahan diri kita. Misalnya jika seseorang individu itu tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, dia seharusnya tidak memohon jawatan pegawai perhubungan awam. Namun, seseorang itu mempunyai pilihan untuk meningkat kekuatan diri dan menangani kelemahan diri, contohnya jika individu tersebut tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik maka individu itu mungkin boleh menghadiri kursus kemahiran komunikasi bagi menangani kelemahan dirinya.
3. Minat dan hobi
Minat dan hobi seseorang boleh memberi petunjuk kepada seseorang itu dalam menentukan apakah pekerjaan yang disukainya. Namun begitu, minat seseorang itu haruslah bersesuaian dengan keperluan bidang akademik dan kemahiran yang dimilikinya. Seseorang itu juga harus meneliti dengan sebaik-baiknya sama ada minat dan hobinya itu boleh dijadikan kerjaya. Contohnya seseorang yang suka bertukang dan memiliki kemahiran pertukangan kayu mungkin boleh menjadi seorang pembuat perabot.
4. Pendidikan, kemahiran dan kemampuan diri
Pendidikan amat penting untuk berjaya dalam kerjaya. Kursus dan subjek yang dipilih juga mampu meningkatkan pengetahuan dan minat dalam sesuatu pekerjaan. Misalnya jika seseorang itu bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, dia perlu memilih untuk mengikuti aliran sains sejak dari sekolah lagi dan kemudiannya menyambung pengajian yang lebih tinggi dalam bidang berkenaan. Di samping itu, apa jua kerjaya yang seseorang itu inginkan, dia seharusnya menguasai kemahiran yang sepadan dengan kerjaya dipilihnya. Antara kemahiran yang boleh dikuasai seseorang ialah kemahiran komunikasi, kemahiran pengurusan dan kemahiran komputer. Kemahiran tersebut boleh dikuasai melalui pendidikan dan latihan yang berterusan.
5. Pembinaan diri
Pembinaan diri bermaksud satu proses yang membolehkan seseorang itu mampu meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehan dirinya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkannya. Seseorang itu harus mempunyai matlamat yang jelas dalam proses pembinaan diri kerana ia dapat memotivasikan diri seseorang itu dan meningkatkan keinginan seseorang itu untuk berjaya. Kita seharusnya tahu bahawa proses pembinaan diri ini adalah satu proses yang berterusan. Proses ini bermula ketika seseorang itu mula bekerja atau menyertai sesebuah organisasi sehinggalah dia bersara dari pekerjaannya. Justeru seseorang itu harus meningkatkan ilmu dan kemahirannya bagi membantu mengekalkan kecekapannya dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Selain itu, proses pembinaan diri ini bermula dengan dengan kesedaran diri yang mana seseorang itu perlu sedar tentang kekuatan dan kelemahan dirinya serta seseorang itu juga perlu sedar tentang apa yang diingini dalam hidupnya. Setelah seseorang itu mencapai tahap kesedaran diri yang tinggi maka individu tersebut boleh menetapkan matlamat yang ingin dicapainya dan mula mengatur langkah bagaimana dia boleh mencapai matlamatnya. Dengan bantuan dari majikan, rakan sekerja dan pegawai di Jabatan Sumber Manusia, individu tersebut boleh mengenalpasti kelemahan dirinya yang utama dan boleh menangani kelemahan tersebut dengan mengambil kursus-kursus di universiti dan kolej, mengikuti program jarak jauh, menyertai bengkel mahupun membaca bahan bacaan yang berkaitan.
0 pendapat:
Catat Ulasan